Tentang Latihan

Setiap pergerakan fizikal perlu dipelajari. Begitu juga dengan permainan violin. Ia bukanlah satu aktiviti yang dipelajari secara semula jadi kerana ia memerlukan kemahiran motor yang halus. Walau bagaimanapun, permainan violin bukan sekadar pergerakan fizikal semata-mata. Sama seperti kemahiran menulis, melukis dan mengecat, imaginasi amat diperlukan. Khusus bagi kes ini, imaginasi muzikal. Selain itu, impuls kreatif perlu dipadankan dengan logik dan kesedaran. Ada muzik yang perlu dibaca dan dimainkan, ada muzik yang perlu difahami tentang gaya, dan ada pula muzik yang memerlukan kefahaman aspek teori. Secara umumnya, muzik memerlukan sensitiviti terhadap irama, nada dan tona suara. Ibarat anak kecil yang sedang belajar bercakap, kemahiran ini dikuasai melalui persekitaran dan latihan.

Antara aspek tersukar dalam permainan violin ialah nada. Pemain violin mestilah tahu tentang konsep nada dan jeda. Jika dibandingkan dengan gitar atau piano, tiada penanda atau panduan nada di atas violin. Pemain violin perlu melatih pendengaran dari awal pembelajaran kerana mereka tidak boleh maju sekiranya tidak dapat membezakan antara nada yang benar atau salah. Kebolehan mengintonasi – keupayaan untuk menjangka letak nada – perlu dititikberatkan. Walaupun permainan violin itu mungkin menyeronokkan dari segi fizikal, nada hendaklah dilatih pada tempo yang perlahan kerana ketepatan lebih diutamakan berbanding kelajuan. Tiada sesiapa akan teruja dengan intonasi yang tepat, namun semua orang akan perasan dengan intonasi yang salah. Amatlah baik untuk mendengar rakaman lagu yang ingin dipelajari sebanyak mungkin. Ia juga satu kelebihan sekiranya dapat berlatih bersama iringan pemuzik lain – andai tiada pemuzik, gunalah trek iringan. Ini dapat mengukuhkan konsep harmoni dan jatuh lagu, selain membina kemahiran bermain bersama pemuzik lain.

Banyak pemain violin yang menghabiskan masa pada teknik sehingga muzik diabaikan. Teknik permainan wujud untuk satu sebab iaitu menyampaikan muzik. Sebelum kita berlatih, kita hendaklah tahu bunyi apakah yang kita mahu hasilkan. Seseorang seniman itu dihadkan oleh imaginasinya, bukan peralatannya. Namun, teknik yang baik perlu diasuh untuk memudahkan pergerakan dan permainan. Permainan violin boleh menjadi susah. Mudah untuk membentuk tabiat permainan yang buruk namun sukar pula untuk membetulkannya. Teknik yang lemah membantutkan permainan dan penguasaan. Sewaktu berlatih, penting untuk sedar dengan segala pergerakan yang tegang. Pemain violin mesti tahu bagaimana untuk mendapatkan keselesaan permainan tanpa menjejaskan kualiti bunyi. Kadangkala, badan akan merasa sakit kerana otot dan sendi memerlukan masa untuk mempelajari pergerakan baharu. Namun, sekiranya rasa sakit tidak hilang selepas beberapa sesi latihan, rujuklah kepada pakar.

Jika permainan violin itu sukar, gandakan kesukaran itu dengan bacaan muzik. Menterjemahkan simbol muzik untuk dimainkan secara spontan sambil melaraskan bunyi yang terhasil ialah satu kemahiran yang cukup serius. Kemahiran ini tidak dapat dikuasai secara mendadak atau pasif – pemain violin perlu obses untuk mendapatkannya. Sewaktu berlatih, pemain perlulah tahu tentang pola muzik seperti tangga nada, kod, harmoni, jatuh lagu, frasa, artikulasi, dinamik dan sebagainya. Setiap elemen muzik perlulah difahami secara mendalam. Pendedahan terhadap zaman muzik yang berbeza, gaya, rakaman dan persembahan mampu mengukuhkan pemahaman terhadap pola muzik. Lama-kelamaan, pemain violin dapat membayangkan bunyi lebih daripada apa yang ditulis kerana simbol muzik hanyalah panduan tetapi bunyi datang daripada pemain.

Namun, pendengaran yang tajam, teknik yang baik dan kefahaman muzik tidak menjadikan seseorang itu pemuzik. Sebenarnya, kejayaan ialah tentang fokus dan disiplin yang berpanjangan. Dek kerana kemahiran muzik memerlukan masa, tujuan latihan ialah untuk mendapatkan konsistensi. Apabila memilih jalan muzik, anda tidak boleh berundur kerana tiada ganjaran kepada mereka yang bermain muzik dengan teruk. Bagaimana anda boleh menghiburkan insan lain andai permainan anda memalukan? Berlatih adalah perbuatan tentang apa yang anda percaya – perkara yang memberi identiti dan rasa kepada ada. Ia adalah imej yang anda ingin paparkan kepada orang lain. Aktiviti yang anda ingin lakukan setiap hari. Latihan itu bermula apabila keinginan itu tidak pudar kerana ia bukan lagi tentang perbuatan tetapi tentang sifat.

Secara kesimpulannya, latihan ialah tentang mempelajari dan mengukuhkan kemahiran baharu, mencari keselesaan di waktu kesukaran, dan memahami sesuatu subjek dengan lebih mendalam. Ringkasnya, latihan ialah perjalanan ke arah kesempurnaan.

Tinggalkan Balasan