Mengapa Pendidikan Muzik Itu Penting

Children's Orchestra

Dahulu, saya berpendapat bahawa seni muzik itu hanya patut diajar kepada mereka yang benar berbakat dan cenderung terhadap bidang ini. Disebabkan pelajaran muzik memerlukan komitmen yang tinggi - baik dari segi masa, usaha dan kewangan - banyak orang tidak mampu mencapai keputusan yang memberangsangkan. Bayangkan resolusi klise setiap kali tahun baharu menjelma; pada minggu pertama gimnasium sentiasa penuh namun ia akan kosong untuk 51 minggu yang berikutnya. Pada tahun 2020 ini, pandemik telah mengakibatkan sekolah ditutup untuk hampir setahun. Walaupun langkah ini mungkin telah menyelamatkan banyak nyawa, hakikatnya kita tidak tahu kesannya terhadap perkembangan mental dan emosi terhadap golongan pelajar, terutamanya kanak-kanak. Sejujurnya, saya amat khuatir dengan masa hadapan sekiranya aktiviti pendidikan tidak dapat dijalankan. Maka tahun ini, saya bertukar fikiran. Saya amati bahawa muzik mestilah berubah daripada bentuk ia digunakan hari ini - seperti acara, rakaman, personaliti dan kesetiaan peminat - kepada suatu kegiatan yang mampu disertai umum secara langsung. Sebagai pihak yang datang dari latar belakang persembahan muzik, saya percaya bahawa pendidikan muzik itu penting dalam pembentukan kemanusiaan.

Pendidikan muzik itu sejenis pendidikan. Bukan dari segi kelayakan kertas mahupun kebolehan melakukan skil tertentu untuk pasaran kerja. Pendidikan yang saya maksudkan di sini ialah suatu pengalaman dalam pembukaan minda; cara memerhatikan alam dan memahami cara ia berfungsi. Muzik bukanlah hanya tentang lagu, nada mahupun rentak. Asal perkataan muzik itu daripada 'muse', sesuatu yang memberikan inspirasi. Ia merupakan salah faham andai kita menganggap bahawa pendidikan muzik itu berkenaan dengan mempelajari sesuatu alat muzik. Skop muzik sangatlah luas. Kita mungkin tertanya mengapa bunyi yang berbeza memberikan kita perasaan dan mood yang berbeza? Mengapa kita mahu mendengar rakaman orkestra simfoni dan bukannya kehingaran kota raya? Mengapa kita saksikan persembahan violin, bukannya tayangan gergaji rantai di resital muzik? Ini kerana bunyi yang indah itu sebenarnya mematuhi hukum Alam; penciptaan muzik itu bukanlah satu kebetulan atau pun produk sampingan daripada bakat. Apabila mempelajari muzik, seseorang akan peka terhadap sifat-sifat bunyi dan undang-undang yang membolehkannya bekerja dengan harmoni. Ia juga membangunkan manusia itu dengan melibatkan seluruh jiwa-raganya. Wawasan utama pendidikan muzik bukanlah untuk mewujudkan peluang kerja; tetapi untuk meningkatkan kecerdasan akal, membuka cara pemikiran, membudayakan tabiat yang baik dan mengalakkan proses sosialisasi.

Pendidikan muzik meningkatkan tahap kesedaran manusia dan membentuk disiplin. Sesetengah orang dapat mempelajari muzik dengan mudah, namun kebanyakannya akan merasakan bahawa pelajaran muzik itu mencabar. Sebagai contoh, menyanyi untuk diri sendiri itu mudah namun menyanyi dengan nada yang tepat itu sukar. Mengetuk gendang dengan kayu itu senang tetapi memainkannya mengikut tempo itu leceh. Kanak-kanak pun boleh menekan kekunci piano untuk menghasilkan bunyi; namun menyegerakkan kedua-dua belah tangan itu ialah seni. Maka ia tidak mengejutkan apabila ramai yang mengalah apabila mereka tahu bahawa bermain muzik itu susah. Jalan cerita pelajaran muzik ini sentiasa bertemakan tentang penyesuaian diri yang kerap - Bagaimana permainan/ nyanyian saya? Adakah teknik ini betul? Adakah saya telah mengikuti arahan? Adakah cara patahan lagu ini sesuai? Adakah saya serentak bersama pemuzik lain? Senarai tugas muzik tidak pernah berakhir. Dengan sentiasa menyesuaikan diri, ia membentuk tabiat menjalankan kerja dengan sempurna. Ia mendidik seseorang agar untuk mengambil peduli atas hasil kerja mereka - peka dan bertanggungjawab. Selain itu, ia mengajar seseorang untuk menjalankan tugas dengan tekun serta membentuk minda yang kental dalam mengharungi rintangan. Secara asalnya, muzik itu susah. Namun, pendidikan muzik mengajar seseorang untuk mengatasi kesusahan, dan diharapkan pelajaran ini dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

Pendidikan muzik itu membudayakan seseorang. Ia mewajibkan mereka menjangkaui ego masing-masing dan melihat dunia di sekeliling mereka. Dengan mempelajari muzik secara formal, seseorang akan dapati bahawa muzik adalah khazanah pelbagai bangsa dan jangkamasa. Selain itu, mempelajari muzik menggalakkan interaksi sosial antara masyarakat yang berpelbagai latar belakang. Keriangan muzik itu berlaku dalam acara berkumpulan seperti orkestra, pancaragam dan koir. Disebabkan kumpulan ini mempunyai pelbagai peranan untuk dimainkan, ia adalah permainan terbaik untuk aktiviti sosial. Berbanding aktiviti sukan yang selalunya berbentuk persaingan, aktiviti muzik memerlukan kerjasama. Peserta bukan sahaja perlu menjalankan tugas muzik dengan baik, namun perlu mengikut peraturannya dengan tepat. Serentak dan senada. Walau hanya seorang ahli muzik yang tidak sedia atau sumbang, seluruh kumpulan akan terkesan. Dalam konteks ini, semua orang adalah setara. Muzik mendidik manusia untuk saling menghormati, beradab dan berguna kepada semua - tidak ada ruang untuk mementingkan diri, prejudis mahupun merasa bongkak.

Pendidikan muzik memberi peluang untuk manusia mencipta dan meluahkan rasa. Dalam dunia hari ini, semuanya boleh dicapai dengan mudah dan cepat. Mahu belajar sesuatu? Carilah dalam talian. Mahu pergi mana-mana? Tempahlah kenderaan menggunakan telefon pintar. Lapar? Dapatkan makanan di hadapan pintu rumah. Bosan? Ada bermacam-macam hiburan untuk dipilih. Namun kemudahan ini datang dengan harganya; kita dibiasakan untuk hanya menggunakan daripada mencipta. Lama-kelamaan, minda kita menjadi lemah kerana ia tidak digunakan sepenuhnya. Hari ini, manusia menghabiskan dua jam sehari di media sosial.1 Kajian juga menunjukkan bahawa media sosial memberi kesan negatif kepada minda.2 Bayangkan betapa banyak masa yang telah terbuang - hanya untuk mengisi kekosongan jiwa. Pendidikan muzik boleh membuatkan manusia melakukan tugas yang kompleks; untuk berjaya, tiada masa untuk alpa. Apabila pelajar boleh bermain muzik dengan mahir, mereka mampu menghasilkan nada yang indah dan memberi semangat. Pada tahap ini, mereka sedar bahawa kejayaan itu tercapai apabila mereka meletakkan seluruh minda dan usaha dalam sesuatu. Ia memberikan mereka suatu kepuasan dan makna. Ia memberikan mereka suara.

Pendidikan muzik itu ialah wahana pembangunan diri dan transformasi. Hari ini, pendidikan awam - terutamanya di sini - hanyalah dilihat sebagai alat mobiliti sosial. Mata pelajaran yang anda pilih dan sekolah yang anda pergi akan menentukan pekerjaan anda di masa hadapan bersama faedahnya. Pekerjaan yang mempunyai kestabilan kewangan membuatkan manusia mengumpul harta, mendapatkan barang/ perkhidmatan yang lebih baik, dan menaikkan taraf hidup mereka. Mereka mula membeli barang yang sama, menonton hiburan yang sama, dan mempunyai perangai yang sama. Lama-kelamaan, mereka mempunyai kerisauan dan ketakutan yang sama. Akhirnya, tiada lagi ruang untuk pemikiran dan perasaan sendiri - tiada lagi optimisme, harapan, impian, cinta dan keindahan. Kerana manusia hanya obses dalam melindungi harta dan taraf sosial - nampaknya itulah kehidupan. Dek pendidikan yang pragmatik, mereka bersifat sedemikan.

Pendidikan muzik, sebaliknya, tidak mempunyai faedah kebendaan. Dalam bidang muzik, peluang pekerjaan amatlah terhad; andai ada pun ganjarannya tidak memadai. Pendidikan muzik itu berteraskan hukum Alam dan minat terhadap keindahan. Dalam muzik anda mungkin mempelajari cara menyanyi dengan merdu atau menggerakkan jari mengikut tempo. Anda mungkin menghabiskan masa yang tidak terkira supaya patah lagu dan dinamik anda benar. Anda akan belajar mengekalkan tempo sambil bermain dengan pemuzik lain. Anda akan berasa gementar sewaktu persembahan, dan apa yang anda sudah latih menjadi sia-sia. Anda akan dikritik atau lebih teruk lagi, tidak dipedulikan. Anda akan melakukan kesilapan demi kesilapan, namun ia tidak mengganggu anda kerana anda tahu cara bagaimana untuk menjadi lebih baik. Anda akan sedari bahawa kejayaan itu ialah tabiat dan bukannya produk. Anda akan maklum bahawa muzik itu bukannya wujud apabila anda habis dahulu; semuanya perlu ditamatkan bersama. Anda akan mafhum bahawa bunyi hanyalah suatu kehingaran yang rawak, namun apabila ditala benar dan disesuaikan, ia menjadi keindahan yang mengasyikkan.

Pendidikan muzik ialah satu perjalanan metafizikal - ia membuatkan anda mengenal diri, menjadikan anda lebih arif dan mendengar; supaya anda dapat merasa, peka dan bertindak dalam dunia yang penuh kebisingan.

Rujukan
1https://www.broadbandsearch.net/blog/average-daily-time-on-social-media
2http://lifesciencesjournal.org/2020/02/the-effects-of-social-media-on-body-image-and-mental-health/

Tinggalkan Balasan