Mengapa Saya Menjadi Konduktor

Saya sering teruja dengan cara bagaimana konduktor menghidupkan persembahan muzik. Karya muzik yang sama boleh diterjemahkan secara berbeza oleh dua orang konduktor. Mereka hanya melakukannya dengan gerak isyarat; koreografi pergerakan tangan dan badan. Bergantung kepada kebolehan dan pengalaman, konduktor boleh meningkatkan atau merosakkan sesebuah persembahan orkestra. Sebab saya menjadi konduktor datang dari dalam diri. Saya telah terinsipirasi oleh konduktor yang hebat, meluat dengan konduktor yang teruk, dan mahu membantu orang lain mempersembahkan muzik dengan lebih baik.

Saya minat dengan muzik klasikal sejak mula bermain orkestra. Saya telah bertemu dengan beberapa orang konduktor yang penuh semangat dan berpengetahuan tentang muzik. Setiap konduktor mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan mesej mereka kepada ahli muzik. Ada yang tegas dan kritis, ada juga yang diplomatik dan memberi galakan. Tidak kira apa jua cara, mereka telah mematangkan saya sebagai ahli muzik. Apabila konduktor penuh dengan semangat terhadap muzik, tenaga mereka dapat dirasai oleh seluruh orkestra. Saya pernah melihat konduktor telah meningkatkan mutu ahli muzik dalam sekelip mata; dengan hanya memberi gambaran atau metafora tentang cara bermain muzik. Kadangkala, konduktor melambangkan kuasa seolah-olah mereka adalah bayangan muzik. Setiap gerak isyarat yang dilakukan, setiap kata yang diucapkan, setiap renungan yang ditujukan - segalanya dilakukan dengan penuh keyakinan. Saya berinspirasi menjadi konduktor kerana melihat konduktor yang hebat sebagai contoh teladan.

Memimpin ‘Simfoni Aidilfitri’ with Orkestra Cerita Muzik, June 2018

Walau bagaimanapun, saya juga telah bertemu dengan banyak konduktor yang teruk sewaktu bekerja sebagai pemain violin orkestra. Ada yang tidak tahu apa yang hendak dibuat; bagaimana mahu melatih atau membetulkan masalah. Apabila orkestra tamat bermain lagu, mereka akan membuang masa dengan terus menyeru, "Baik, kita mula lagi sekali dari atas!" Ada konduktor yang cuba menonjolkan kepintaran mereka. Meraka mengeluarkan fakta (yang tidak berguna) secara rawak atau terma muzik yang kabur, atau cuba menerangkan muzik dengan melampau. Mereka suka mencari kesalahan-kesalahan kecil sehingga ahli muzik pun tidak mahu ambil peduli. Sebaliknya, ada juga konduktor yang berkata bahawa segalanya sempurna walhal bunyi orkestra sangat kucar-kacir. Kesemua konduktor yang teruk mempunyai satu persamaan; mereka tidak membantu ahli muzik. Saya tergerak hati untuk mengambil baton kerana saya percaya bahawa saya boleh melakukan tugas ini dengan lebih baik.

Kamu tidak perlu buat apa-apa. Kalau boleh, tolong.

Vladimir Ponkin

Peranan sebenar seorang konduktor adalah untuk membantu para pemuzik bermain bersama-sama. Konduktor mungkin ditugaskan untuk mengarah segala bentuk persembahan daripada orkestra simfoni seramai 100 ahli hingga ke persembahan muzik kontemporari melibatkan dua pemuzik. Gerak isyarat mereka menunjukkan tempo, dinamik, artikulasi, patah lagu dan isyarat muzik masuk. Pemuzik mungkin berbeza pendapat antara satu sama lain - maka konduktor perlu menjadi hakim dalam membuat keputusan muzikal. Mereka perlu mendengar dengan teliti sama ada muzik yang dimainkan benar seperti yang ditulis di dalam skor. Sekiranya ada kesalahan, mereka perlu menyatakan kesalahan itu supaya pembetulan dapat dibuat dengan secepat mungkin. Tambahan itu, konduktor perlu menjadi watak yang menyakinkan apabila muzik menjadi sukar. Kadangkala, ada tempat yang sukar dimainkan atau mempunyai perubahan tempo yang mendadak. Konduktor perlu tahu cara bagaimana untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah dengan betul. Saya merasa teruja dengan kerumitan tugas mengurus muzik dan manusia pada masa yang sama. Saya mahu membimbing ahli muzik untuk membuat persembahan di tahap tertinggi.

Memimpin Clap & Tap Children Orchestra, November 2015

Pimpinan orkestra ialah seni menghasilkan muzik tanpa alat muzik. Dengan hanya sebatang baton, konduktor perlu memanfaatkan bakat, tenaga dan pengalaman agar orkestra dapat menghasilkan persembahan yang terbaik. Seperti artis mimik, mereka mesti menyampaikan karakter, mood dan perasaan muzik dengan menggunakan diri sendiri sebagai medium. Saya merasakan itu cukup menawan, dan menjadi konduktor itu adalah cita-cita muzik tertinggi bagi saya.

Artikel ini telah diterbitkan di blog lama Ahmad pada 31 Januari, 2020.

Tinggalkan Balasan