5 Perkara Yang Anda Perlu Untuk Belajar Muzik

Banyak orang ingin belajar bermain alat muzik setelah melihat persembahan yang hebat. Mereka mungkin telah terpegun dengan kehebatan ahli muzik atau tertarik dengan sifat sesetengah alat muzik - seperti kelembutan tona bunyi piano, gemersik bunyi violin atau kelantangan gitar elektrik. Lalu mereka pun mencari alat muzik dan tutorial dalam talian. Ada yang menghubungi guru muzik untuk mengadakan kelas persendirian. Setelah beberapa minggu, mereka merasakan bahawa proses bermain muzik itu lebih susah daripada yang dijangkakan. Mereka mula tidak mengharapkan prestasi yang baik. Mereka menangguhkan latihan dan hanya memainkan lagu yang senang. Habuk mula timbul di atas alat muzik sewaktu minat mereka menurun. Tidak lama selepas itu, mereka pun mencari hobi baharu.

Tanpa ilmu pengetahuan, mempelajari muzik itu boleh menjadi tugas yang sukar dan senang untuk disesatkan. Artikel ini bertujuan untuk memberi panduan sebelum anda memulakan perjalanan muzik anda. Berikut adalah 5 perkara untuk belajar muzik.

1. Jangkaan

Anda perlu realistik dengan sebanyak mana anda mahu belanjakan, berapa jam anda boleh sumbangkan untuk tujuan belajar dan latihan, dan sejauh manakah anda ingin pergi dalam perjalanan anda.

Muzik itu ialah lopak duit; ada sahaja yang anda perlu bayar, seperti alat muzik, buku, yuran pelajaran, aksesori, penyelenggaraan dan sebagainya. Sekiranya muzik membebankan kewangan anda, adalah digalakkan untuk memperbaik aspek itu terlebih dahulu kerana muzik bukannya hobi yang murah.

Penguasaan muzik memerlukan masa, kesabaran dan konsistensi. Anda tidak boleh menduga untuk menjadi seorang virtuoso selepas kelas yang ketiga dengan hanya berlatih 10 minit seminggu. Banyak pelajar hilang minat apabila tugasan muzik menjadi makin sukar atau bila mereka tidak boleh menghasilkan bunyi dengan baik. Pendek kata - tiada usaha, tiada jaya.

Anda harus memikirkan tentang apa yang anda mahu dengan muzik. Bukan semua pelajar muzik boleh atau patut menjadi ahli muzik profesional. Namun, setiap orang mestilah mendongak ke bintang. Sekiranya cita-citanya rendah dari mula, tiada motivasi bagi anda untuk berjaya. Sudah menjadi sifat manusia untuk merasa malas kerana minda kita hanya suka pada benda yang sudah dikenali. Namun, pelajaran muzik itu adalah tentang mengembara ke alam yang tidak dikenali dan mengatasi diri sendiri. Muzik pada mulanya sukar, namun ia memberi ganjaran mental dan spiritual apabila seseorang dapat menguasainya.

2. Komitmen

Amaran pemusnah cerita! Pelajaran muzik itu lebih susah daripada apa yang anda jangka. Ia merupakan satu aktiviti kompleks kerana otak perlu memproses isyarat pendengaran, penglihatan dan sentuhan pada masa yang sama. Pembangunan memerlukan momentum. Muzik bukanlah sejenis hobi yang boleh dilakukan bila-bila masa dengan sesuka hati.

Setiap insan mempunyai kecenderungan pembelajaran yang berbeza dan setiap alat muzik mempunyai kesukaran masing-masing. Sebagai panduan am, lebih banyak masa latihan, lebih cepat anda mahir. Adalah digalakkan untuk meletakkan masa pelajaran muzik dari 30 hingga ke 60 minit setiap hari. Sudah menjadi kebiasaan untuk hilang minat apabila anda tidak dapat menghasilkan bunyi yang baik atau segalanya menjadi rumit, namun anda perlu teruskan berjuang.

Bertentangan dengan norma kepuasan segera pada zaman ini, pelajaran muzik perlukan pengorbanan. Sekiranya anda suka melakukan perkara dengan terkejar-kejar, anda perlu membuang tabiat ini. Anda perlu menghabiskan masa dan sumber demi muzik. Anda perlu mencari rujukan, mendengar rakaman dan menyaksikan persembahan. Anda perlu menyertai aktiviti yang boleh membangunkan naluri muzik anda. Anda juga perlu merendah diri dan mempunyai semangat untuk mengubah diri anda. Tiada istilah sederhana dalam muzik - semuanya atau tiada langsung. Dengan itu, anda mesti meletakkan seluruh jiwa raga dalam perjuangannya.

3. Panduan

Dalam era informasi ini, kita dikurniakan dengan limpahan ilmu dan bahan pelajaran. Walau bagaimanapun, terlalu banyak maklumat menyukarkan kita untuk membezakan antara yang benar dengan yang salah. Amatlah penting untuk mencari guru yang dapat membimbing anda ke jalan yang benar.

Guru muzik yang baik adalah seorang yang boleh memberi tunjuk ajar yang jelas, menganalisis kelemahan anda, memberikan nasihat yang benar dan memberikan motivasi. Hindari daripada memilih guru muzik berdasarkan kesenangan diri atau harga: guru muzik yang jujur amatlah sedikit. Hadirkan diri dalam acara muzik, tanyalah masyarakat sekeliling, aturkan kelas percubaan dan tentukan sama ada guru itu sesuai dengan cara pembelajaran anda.

Tambahan itu, ikuti hanya seorang guru untuk satu jangka masa tertentu. Seni itu subjektif; setiap guru mempunyai pendapat yang berbeza tentang bagaimana muzik perlu dimainkan. Mempelajari muzik dengan banyak guru pada sesuatu masa boleh menambah kekeliruan dari sudut teknik permainan dan gaya. Anda boleh mencari guru baharu apabila anda tidak nampak kemajuan dalam permainan anda.

4. Persekitaran

Anda perlu mempunyai tempat yang kondusif untuk belajar dan berlatih muzik. Untuk muzik bermula, ia perlukan keheningan. Anda perlu mendengar bunyi anda maka bunyi bising perlu dielakkan sejauh mungkin. Selain itu, anda juga tidak mahu bilik latihan anda penuh dengan gangguan seperti gajet, televisyen, ahli keluarga, bunyi bising luaran dan sebagainya.

Anda juga mungkin membuat rawatan akustik untuk bilik latihan anda. Berlatih di tempat yang bergema memang membuatkan bunyi makin besar. Namun, ini menyebabkan anda tidak boleh mendengar bunyi anda dengan teliti. Akibatnya, anda tidak tahu kelemahan anda yang sebenar dan ia akan mengejutkan anda apabila anda bermain di tempat yang akustiknya lebih kering.

Anda tidak perlu belanja besar untuk membuat studio latihan. Fabrik, kusyen dan perabot boleh menyerap bunyi. Fikirkan aspek keselesaan seperti aliran udara, suhu dan pencahayaan. Sekiranya berlatih di rumah tidak kondusif, cuba berlatih di studio latihan komersial di kawasan anda, namun ini boleh meningkatkan perbelanjaan muzik anda.

5. Alat

Mendapatkan alat yang betul itu suatu kemestian. Apabila membeli alat muzik anda yang pertama, perkara terbaik ialah mencari bantuan pakar - boleh jadi seorang guru muzik atau ahli muzik profesional. Guru muzik mungkin mendapat sedikit komisyen dari jualan itu tetapi lebih baik mempercayai seorang guru daripada seorang jurujual.

Saya tidak galakkan untuk membeli alat muzik akustik secara dalam talian melainkan anda benar-benar tahu apa yang anda lakukan. Ada banyak faktor yang perlu diambil kira: bolehkah ia dimainkan, di manakah ia boleh diservis, adakah ia diposkan secara cermat atau bolehkah anda membuat pemulangan sekiranya anda tidak menyukai alat muzik itu. Lebih baik menyerahkan urusan ini kepada mereka yang profesional kerana anda yang akan rugi sekiranya tersalah beli. Namun, untuk alat muzik digital atau elektronik, anda mungkin boleh mendapatkan tawaran harga yang lebih baik namun belilah dengan pertimbangan.

Anda juga mestilah sanggup untuk mendapatkan alat muzik yang terbaik setakat mana yang anda mampu. Dalam muzik, anda akan dapat apa yang anda bayar. Ketahui berapakah purata harga alat muzik yang dikhususkan pada pemain tahap pertengahan. Harga alat muzik pemula mestilah tidak terlalu murah jika dibandingkan dengan kualiti pertengahan. Apabila harga alat muzik itu terlalu rendah, selalunya kualiti tidak dititikberatkan. Lantaran itu, lebih baik anda menyimpan duit untuk mendapatkan barang yang berkualiti daripada memilih barang termurah - anda juga mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Kadangkala, anda boleh mendapatkan tawaran yang lebih baik dengan alat muzik terpakai. Ahli muzik sering menukar alat muzik mereka untuk mencari alat yang lebih baik. Anda boleh mendapat alat muzik yang kondisinya masih baik pada harga yang tiada bandingan. Ada alat yang mungkin perlu diservis dengan sedikit; namun ada juga yang perlukan proses restorasi besar-besaran. Adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat profesional sekiranya anda ingin membeli alat muzik terpakai.

Sebagai nota tambahan, buat kajian tentang aksesori dan alat ganti yang biasa digunakan dengan alat muzik anda. Anda mungkin memerlukan 'music stand', 'tuner' dan 'metronome'. Perlu diingatkan bahawa alat muzik memerlukan penjagaan dan penyelenggaraan berkala. Ia amatlah membantu sekiranya anda tahu tempat kelengkapan muzik dan pusat servis alat muzik anda.

Kesimpulannya, pelajaran muzik memerlukan dedikasi dan ketelitian. Sebelum memulakan kelas muzik, anda perlu meletakkan jangkaan, memberi komitmen, mendapatkan bimbingan, menyediakan persekitaran yang sesuai dan mempunyai alat yang betul.

1 thought on “5 Things You Need to Learn Music”

Tinggalkan Balasan