Bio

Ahmad Aliff ialah pemuzik yang dilatih secara klasikal, khusus dalam bidang pengarahan muzik dan persembahan violin. Walaupun bermula sebagai pemain violin, kecenderungannya terletak pada pimpinan orkestra dan muzik kamar. Beliau menerima ijazah Sarjana Muzik Persembahan (Kepujian) Kelas Pertama daripada Universiti Teknologi Mara. Dalam pelajaran violin, beliau telah berguru dengan Woon Wen Kin, Mustafa Fuzer Nawi dan Evgeny Kaplan. Setakat ini, beliau telah mengambil 'masterclass' bersama David Kim, Orsolya Korscolan, Bernabas Klemen dan Amaury Coeytaux. Beliau juga telah menyertai bengkel muzik kamar yang dikendalikan oleh Abegg Trio, Berlin Baroque dan Apple Hill String Quartet. Pada tahun 2017, beliau telah menghadiri 'masterclass' dalam pimpinan orkestra bersama Maestro Vladimir Ponkin di Moscow, Rusia.

Sejak kecil, Ahmad cukup tertarik dengan muzik klasikal, terutamanya dalam genre simfoni. Pada zaman remajanya, beliau cukup aktif dengan Orkestra Simfoni Pulau Pinang. Beliau telah menimba banyak pengalaman sewaktu bersama Malaysian Philharmonic Youth Orchestra dari tahun 2006 hingga 2011. Sebelum menamatkan pengajiannya di universiti, beliau sering dijemput sebagai pemuzik bagi Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia. Dari tahun 2013 hingga 2015, beliau telah bertugas sebagai ahli muzik sepenuh masa bagi Orkestra Radio Televisyen Malaysia.

Walaupun mempunyai latar belakang muzik klasikal, Ahmad sering dijemput untuk kegiatan muzik popular. Oleh sebab bakatnya yang serba boleh, beliau telah memainkan pelbagai peranan muzik yang berbeza, di atas pentas mahupun di dalam studio. Beliau pernah menjadi pemuzik session, penggubah, komposer, penerbit rekod dan pengarah muzik. Beliau telah membuat persembahan bersama artis tempatan dan juga antarabangsa seperti Richard Clayderman, Maher Zain, Opick, Black Dog Bone, Wings dan Search. Beliau juga telah bekerja bersama produser album seperti Rudi Muhammad dan KRU. Setakat ini, beliau telah menjadi pengarah muzik bagi acara-acara bebas dan juga produksi karpet merah yang melibatkan nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Misha Omar dan Jaclyn Victor.

Beliau cukup bersemangat untuk menyebarkan ilmu muzik klasikal kepada masyarakat. Pada tahun 2016, beliau telah menubuhkan Orkestra Cerita Muzik yang mengumpulkan pemuzik daripada pelbagai latar belakang sebagai wadah permainan muzik orkestra bertaraf tinggi. Beliau telah melatih orkestra Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa dan SMK (P) Sri Aman. Bersama isterinya Rini, mereka telah menganjurkan banyak acara muzik - selalunya dengan menggunakan duit mereka sendiri - untuk mendidik dan menyampaikan keindahan muzik klasikal kepada khalayak umum.

Kini, Ahmad menetap di Kuala Lumpur. Selain menulis artikel tentang muzik, beliau menyediakan perkhidmatan muzik secara tempahan yang melibatkan kelas muzik, perancangan majlis, pengarahan orkestra, komposisi dan penggubahan muzik.